Tuesday, August 15, 2000

Saf Pimpinan Pelbagai Latar Belakang


YANG Amat Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, ADUN Rhu Rendang, yang dilantik menjadi Menteri Besar (MB) Terengganu selepas kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10, merupakan MB kesebelas dalam sejarah kerajaan Terengganu. 

MB pertama, Dato’ Seri Amar DiRaja Haji Ngah Muhammad bin Yusof menduduki kerusi berkenaan bermula 21 April 1925 hingga 28 Jun 1940. Tempat beliau diambilalih kemudiannya oleh Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar bin Othman, yang menjadi MB antara 15 Julai 1940 hingga 6 Mei 1942.

Dato’ Jaya Perkasa Da Omar bin Mahmud menjadi MB ketiga Terengganu, bermula 7 Mei 1942 hingga 16 Disember 1945. Beliau kemudian digantikan oleh Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad bin Almarhum Sultan Ahmad, dari 17 Disember 1945 hingga 26 Disember 1949.

Haji Kamaruddin Haji Idris menjadi MB kelima, dengan gelaran Dato’ Perdana Menteri DiRaja. Beliau memegang jawatan itu dalam tempoh hampir sepuluh tahun, iaitu dari 27 Disember 1949 hingga 28 Jun 1959.

MB keenam ialah dari kerajaan PAS, yang telah memenangi Pilihan Raya Umum 1959, Haji Mohd Daud Samad. ADUN Setiu ini dilantik menerajui kerajaan Terengganu dari tarikh 29 Jun 1959 hingga 8 November 1961. (Kerajaan PAS berakhir setelah undi tidak percaya dilakukan di Sidang DUN Terengganu, pada 30 Oktober 1961).

Tan Sri Dato’ Ibrahim Fikri bin Mohamad kemudiannya mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu. Beliau menjadi MB selama hampir sembilan tahun, iaitu dari 9 November 1961 hingga 30 September 1970, sebelum digantikan pula oleh Dato’ Mahmud bin Sulaiman (1 Oktober 1970-4 September 1971).

MB kesembilan ialah Dato’ Nik Hassan bin Haji Wan Abdul Rahman, yang mengetuai kerajaan Terengganu dari 5 September 1971 hingga 31 Ogos 1974.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad pula diangkat, sebagai MB kesepuluh. Beliau menerajui Terengganu buat tempoh masa yang paling lama, iaitu hampir 25 tahun, dari 1 September 1974 hingga 29 November 1999.

Ekoran kemenangan penuh bergaya PAS pada pilihan raya umum lalu, Tuan Guru selaku Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Timbalan Presiden PAS Pusat telah diperkenankan oleh Tuanku Al-Wathiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah, untuk menerajui kerajaan yang baru dibentuk. Beliau menerima watikah pelantikan sebagai MB ke-11 daripada Baginda Sultan pada 30 November 1999.

Sebagai MB, Tuan Guru turut dipertanggungjawabkan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian dan Perhutanan, dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan.

Potensi dan wibawa sesebuah kerajaan bukan sekadar terletak kepada seseorang pemimpin utamanya sahaja. Di samping karisme dan idealisme Tuan Guru dalam menerajui kerajaan baru Terengganu, turut bersama-sama beliau dalam saf kepimpinan ialah satu line-up yang sangat meyakinkan. Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh yang memiliki berbagai-bagai latar belakang pendidikan dan mempunyai pengalaman politik yang luas.

Antara yang turut mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) ialah Naib Presiden PAS dan juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Haji Mustafa bin Ali, ADUN Pengkalan Berangan. Beliau ditugaskan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia.

Haji Mustafa sememangnya disegani oleh ahli-ahli PAS atas karisme dan pengalaman politiknya yang luas menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat dalam dua era, sebelum menjadi Bendahari PAS Pusat, dan seterusnya Naib Presiden, hingga kini. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sewaktu PAS berada dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, yang juga ADUN Manir, Ustaz Harun bin Taib pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah. Ustaz Harun adalah pemegang Ijazah Sarjana Siasah Syar’iyyah Universiti Al-Azhar, Mesir, dan merupakan seorang pendakwah dan pendidik yang tidak asing lagi dalam PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Haji Wan Abdul Mutalib bin Embong pula diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri ini, yang juga seorang peguam, menang di DUN Batu Burok.

Seorang lagi AJK Kerja PAS Pusat, yang juga salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Haji Abu Bakar bin Chik, turut dilantik menjadi Ahli MMK. Beliau yang menang di DUN Batu Rakit ditugaskan mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan.

Turut memperkukuhkan barisan Ahli MMK Negeri Terengganu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Haji Mohd Salleh bin Abas. ADUN Jerteh ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas.

ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid bin Haji Endut pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna. Manakala ADUN Alur Limbat, Yahaya bin Ali, menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi. Kedua-dua mereka merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT).

Seorang lagi bekas Ketua DPPNT yang juga Setiausaha DUPNT, Ustaz Abu Bakar bin Abdullah, dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan. Beliau berjaya mengekalkan kemenangannya di DUN Tepoh.

Ustaz Haji Awang Dagang bin Jusoh yang mengalahkan bekas MB, Tan Sri Wan Mokhtar, di DUN Cukai, juga turut dilantik menganggotai MMK. Beliau memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum. ADUN Sura, Ustaz Wan Hassan bin Mohd Ramli, dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan.

Secara keseluruhannya line-up yang dikemukakan oleh PAS ini mencakupi hampir keseluruhan bidang kehidupan. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang kemahiran yang diperlukan untuk membina sebuah pemerintahan yang baik.

Terdapat sekurang-kurangnya sepuluh orang Ahli Yang Berhormat DUN dan juga Parlimen di Terengganu, terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan. Ustaz Harun Taib adalah Pengerusi ILHAM (sebuah institusi perkaderan yang ditubuhkan oleh PAS), di samping menjadi mentor kepada penubuhan Maahad Darul Quran di Rusila dan Madrasah Darul Ehsan di Kubang Lembek.

Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, ADUN Kuala Besut pula adalah bekas pensyarah Maahad Dakwah Wal Imamah, Nilam Puri, Kelantan. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana dari Yarmouk, Jordan. Manakala ADUN Teluk Pasu, Ustaz Ismail Mamat adalah bekas pensyarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Kuala Terengganu.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah pengerusi rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), yang beroperasi di seluruh negara. Beliau juga adalah mentor kepada Institut Berakan yang pernah menjadi mangsa kerakusan kerajaan BN, di samping turut menjadi penaung kepada Maahad Tahfiz Al-Quran di Tok Jiring.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah bekas pensyarah Universiti Malaya. Manakala Ustaz Roslan Ismail, ADUN Bukit Besi pula adalah bekas pensyarah maktab perguruan. Cikgu Shukrimun Shamsudin (Ahli Parlimen Kuala Nerus), Cikgu Hassan Mohamed (Parlimen Besut), Ustaz Abu Bakar Abdullah (ADUN Tepoh), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (ADUN Sura) dan Ustaz Saiful Bahari Mamat (ADUN Paka) adalah juga para pendidik yang turut terlibat menjayakan institusi pendidikan di tempat masing-masing.

Terdapat dua orang tokoh dan ahli undang-undang yang dikemukakan dalam barisan MMK. Mereka ialah Tun Dr. Mohd Salleh Abas, yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara, dan juga Haji Wan Abdul Mutalib Embong, yang merupakan seorang peguam terkenal dan menjadi Penasihat Undang-undang PAS Pusat.

Dalam bidang perubatan pula terdapat tiga orang doktor perubatan menjadi Ahli Yang Berhormat. Mereka adalah Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang), Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Dr. Sulaiman Abdullah (Ladang). Manakala dua orang pemegang Doktor Falsafah (PhD) pula ialah Tun Dr. Mohd Salleh Abas dan Dr. Syed Azman.

Dalam aspek pentadbiran pula, jika pengalaman kerja sebagai pegawai dalam perkhidmatan awam mahu diambil kira, maka line-up yang ada kini lebih daripada berwibawa dalam hal tersebut. Haji Mustafa Ali cukup berpengalaman sebagai seorang Guru Besar dan kemudian berpengalaman pula sebagai seorang Timbalan Menteri. Tun Dr. Mohd Salleh juga sangat lama berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, dan mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara.

Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani Che Ambak, adalah seorang bekas Jurutera Daerah. Manakala Yahaya Ali pula pernah berkhidmat sebagai pegawai di KETENGAH dan Permint Plywood, sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986. Begitu juga dengan ADUN Kijal, Haji Mehamad Sulong, yang merupakan seorang bekas Penghulu Mukim, dan juga Ustaz Awang Dagang (ADUN Cukai) yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Seranta di Tabung Haji.

Beberapa ahli Yang Berhormat juga turut berpengalaman dalam bidang perniagaan dan pertanian. Mereka adalah Mohd Abdul Wahid (ADUN Wakaf Mempelam), yang pernah memiliki rangkaian perniagaan hardware, tapak semaian dan restoran. Begitu juga dengan ADUN Bandar, Md. Azmi Lop Yusof, Hassan Mohamad (Parlimen Besut) dan Abdullah Mat Dan (Hulu Besut) yang sememangnya turut terlibat menjayakan perniagaan masing-masing.

Secara keseluruhannya line-up ahli-ahli MMK yang membentuk kerajaan dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat yang membentuk saf penyokong kerajaan, memperlihatkan suatu kemantapan dan keupayaan dalam menghasilkan sebuah pentadbiran yang baik. Ia jelas menampakkan suatu gabung-jalin yang sangat serasi antara golongan ulama dan tenaga profesional, yang sama-sama saling perlu-memerlui untuk membina sebuah negeri yang makmur dan mendapat keampunan dari Allah SWT.

(Artikel ini adalah Bab 3, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)

1 comment:

  1. salam..boleh saya tau mana nak dapatkan buku saudara?

    ReplyDelete