Tuesday, July 10, 2001

Bab 2: Mengembalikan Kedaulatan ‘Darul Iman’

“Apa yang agak ironi sedikit, sebahagian harapan dan cita-cita Wan Mokhtar boleh dikatakan tercapai dengan program pemerintahan PAS itu.”


Meneliti buku Sekali Penyu Menyusur Pantai, yang merupakan koleksi 42 ucapan terpilih Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu, memberi gambaran betapa murninya hasrat beliau untuk melihat wujudnya keseimbangan antara kepentingan duniawai dan ukhrawi di dalam program pemerintahannya.

Selama lebih dua dekad sebagai MB, Wan Mokhtar di dalam banyak ucapannya sering menyentuh soal usaha pimpinannya untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berwibawa dan profesional, tetapi juga yang berilmu.  

Sayang sekali, pengucapan dan iltizam beliau itu tidak sepenuhnya ‘sempat’ dizahirkan menerusi tindakan konkrit dan nekad oleh kerajaan yang dipimpinnya sendiri. Tempoh 25 tahun (1974-1999) sebagai MB barangkali masih belum cukup lama untuk Wan Mokhtar merealisasikan segala yang diimpikannya.

Sebab itu, arak tetap berlambak, judi terlalu lambat untuk diharamkan sepenuhnya, tempat-tempat maksiat tidak terkawal, muamalat riba menjadi tradisi, rasuah dan salahguna kuasa sampai ke tahap merunsingkan.

Masyarakat yang dilahirkan mungkin berwibawa, tetapi agak kurang sifat taqwa. Imej dan kedaulatan ‘Darul Iman’ yang digelarkan kepada Negeri Terengganu seolah-olah semakin pudar dan terhakis.

Barangkali Wan Mokhtar sendiri pun tidak suka kepudaran dan hakisan itu terjadi. Tetapi, rakyat menilai bahawa segala impian dan cita-cita beliau hanya mampu bertahan sekadar ‘cakap tak serupa bikin’.

Rakyat telah memberikan beliau tempoh yang cukup lama. Dua puluh lima tahun bukannya masa yang singkat. Sudah sepatutnya rakyat menuntut perubahan. Memang wajar pun rakyat menuntut agar dikembalikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai ‘Darul Iman’, negeri bagi orang-orang yang beriman.

Sebab itu, apabila hasrat tersebut dinyatakan dengan jelas oleh PAS di dalam Manifesto Pilihanraya Umum Kesepuluh lalu, rakyat merasakan itulah apa yang sangat dicita-citakan oleh mereka selama beberapa tahun kebelakangan ini.

Rakyat yang sudah dianggap berwibawa, kini mahu juga jiwa mereka diisi dengan agenda taqwa. Rakyat yang sudah diulit dengan pembangunan kebendaan mahu diri mereka diseimbangkan juga dengan pembangunan insan. Akhirnya, rakyat memilih PAS.

Bersesuaian dengan hasrat mengembalikan kedaulatan ‘Darul Iman’, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan penuh bijaksana dan berpandangan jauh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semenjak diberi mandat memerintah negeri ini sememangnya mengambil amanah untuk merealisasikan apa yang dijanjikannya dalam manifesto pilihanraya lalu.

Di atas hasrat itu, di antara perkara paling awal dilakukan ialah menyusun semula pentadbiran negeri dengan mengambilkira aspek pandangan dan pendapat dari pelbagai lapisan masyarakat, khususnya ahli-ahli PAS yang bertanggungjawab memberikan mandat kepada PAS untuk menerajui Terengganu.

Antara perkara-perkara yang diberikan hiraki keutamaan ialah Perlaksanaan Syariah dan Muamalat Islam dalam semua aspek pengurusan masyarakat dan pentadbiran. Dalam konteks perlaksanaan agenda utama ini, sebuah portfolio telah diwujudkan khusus untuk itu iaitu Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Perlaksanan Syariah.

Dalam tempoh yang singkat di awal pemerintahan, pelbagai aspek perlaksanaan syariah telah dilaksanakan dengan melihat kepada pengurusan sistem muamalat Islam, pentadbiran hukum syarak dan pentadbiran negeri keseluruhannya.

Pertama: Memindahkan kesemua akaun simpanan milik kerajaan negeri serta agensi-agensi dan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri ke dalam akaun perbankan Islam tanpa riba (al-Wadiah).

Kedua: Menghapuskan pengambilan kadar faedah sebanyak 4% daripada Skim Pinjaman Kakitangan Kerajaan yang melibatkan skim pinjaman kereta dan komputer. Kerajaan negeri juga berhasrat mengadakan dana khas untuk skim pinjaman ini khusus kepada projek perumahan rakyat kos rendah. 

Ketiga: Berusaha menambah cawangan Skim Muassasah Gadaian Islam (ar-Rahnu) daripada satu cawangan sedia ada kepada tiga cawangan. Kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan satu cawangan skim gadaian Islam di setiap daerah di seluruh negeri Terengganu.

Keempat: Menghapuskan kadar faedah 4% daripada setiap pelajar yang menerima bantuan pinjaman daripada Dana Tabung Pendidikan Tinggi Negeri. Bukan semata-mata di atas dasar meringankan beban, tetapi membebaskan mereka daripada cengkaman riba yang dikutuk Allah itu.

Kelima: Membatalkan kesemua lesen premis perjudian di seluruh negeri Terengganu. Turut dibanteras ialah kegiatan snooker, pusat video dan sukan tinju/tomoi yang dipercayai menjadi tempat menyemai unsur-unsur judi.

Keenam: Menyusun semula penjualan dan penggunaan minuman keras dengan mengurangkan lesen premis penjualan arak daripada 39 buah kepada hanya 8 buah, sekira-kiranya hanya cukup untuk membekalkannya bagi kegunaan masyarakat bukan Islam sahaja.

Ketujuh: Di sebalik usaha berterusan memastikan minat pelabur untuk ke Terengganu dipertingkat serta diperluaskan, kerajaan negeri turut memastikan bahawa setiap pelaburan yang diterima adalah bebas daripada unsur-unsur melanggar syarak.

Kelapan: Soal mengangkat martabat wanita juga menjadi salah satu agenda utama kerajaan negeri. Untuk itu, penglibatan kaum wanita di dalam setiap persembahan kebudayaan sama ada membabitkan penyanyi/artis wanita atau penari-penari dalam persembahan gamelan, rodat dan lain-lain tarian rakyat dilarang sama sekali. Kawalan lesen hiburan termasuk persembahan dikir barat pula disyaratkan tiada penyanyi wanita. Manakala penyertaan wanita dalam Ujian Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan turut dihentikan.

Kerajaan Terengganu juga berusaha meningkatkan taraf kehidupan dan kebajikan rakyat dengan tumpuan kepada soal mengurangkan kemiskinan, peluang pendidikan tinggi, perumahan rakyat serta pengurangan dan pemotongan cukai yang membebankan.

Untuk itu, kajian menyeluruh telah dijalankan di bawah seliaan agensi kerajaan negeri seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Yayasan Pembangunan Keluarga dan lain-lain untuk menganalisis status kemiskinan dan seterusnya melaksanakan strategi dan program jangka pendek dan jangka panjang bagi mempertingkatkan taraf ekonomi golongan miskin dan termiskin. Antaranya ialah:

Satu: Mewujudkan mekanisma berteraskan penghayatan Islam yang mampu berperanan ke arah aspirasi kerajaan negeri iaitu mempertingkatkan keberkesanan institusi Zakat dan Baitulmal, dengan memastikan bahawa pungutan dan pembahagian zakat adalah adil dan menyeluruh.

Dua: Menaikkan kadar bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat dari RM50 hingga RM150 sebulan kepada orang-orang tua yang miskin, dhaif dan tidak berkeluarga kepada kadar minima RM100 sebulan. Manakala bantuan keluarga ialah RM60 hingga RM250 sebulan bergantung kepada bilangan tanggungan dan keadaan sosioekonomi masing-masing. Yang penting ialah pemberian adalah berdasarkan keadilan tanpa mengira latarbelakang politik penerima.

Tiga: Mewujudkan Badan Induk Wanita Terengganu (Mawaddah) di bawah portfolio Hal Ehwal Wanita dengan misi untuk membela, melindungi dan memartabatkan hak wanita serta mendapat tempat bersesuaian dengan tuntutan Islam. Antaranya:
a)                  Mengadakan sesi ceramah dan penerangan serta dialog dengan pemilik premis perniagaan dalam usaha memperkenalkan peraturan menutup aurat untuk wanita Islam (bagi rakan mereka yang bukan Islam dipohon berpakaian sopan), serta kaunter bayaran berasingan antara wanita dan lelaki. Manakala semua pengusaha perhotelan, resort/chalet dan gedung perniagaan diarahkan supaya mengasingkan bilik/asrama pekerja lelaki dan perempuan dengan harapan menghindarkan berlakunya sebarang gejala tidak diingini.
b)                  Melalui seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyalurkan Bantuan Am kepada golongan balu dan janda yang masih berkeluarga serta pada masa yang sama memberikan latihan kemahiran, vokasional, teknikal dan keusahawanan dengan maksud membolehkan mereka berdikari dengan terbabit aktif dalam aktiviti ekonomi luar rumah.

Empat: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan agensi berkaitan akan juga memastikan setiap usahawan dan peniaga di Terengganu akan terus mendapat manfaat hasil daripada beberapa program pembangunan usahawan seperti kursus-kursus, lawatan sambil kerja, ekspo dan seumpamanya.

Lima: Skim pinjaman Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu (TPUT) turut dipinda. Dasar terdahulu yang menggunakan kaedah konvensional melibatkan faedah sebanyak antara 1%-9% bagi jenis-jenis pinjaman Skim Modal Teroka (Venture Capital), Skim Pinjaman Langsung (SPL), Skim Kredit Pusingan (SKP) dan Skim Pemfaktoran (SP) telah diubahsuai. Skim Pinjaman Tanpa Faedah berlandaskan sistem kewangan Islam yang diperkenalkan kerajaan baru ialah Al-Murabahah, Al-Mudharabah, Al-Ijarah dan Al-Qard ul-Hasan. Sehingga Oktober 2000, sebanyak 278 permohonan pinjaman telah diterima. Daripada jumlah itu, sebanyak 20 permohonan telah diluluskan melibatkan nilai pinjaman lebih RM1.0 juta.  

Enam: Kesinambungan kepada usaha mengurangkan bebanan rakyat serta menjamin kebajikan rakyat menjadi agenda utama pengurusan masyarakat. Untuk itu kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik dengan melaksanakan penghapusan dan pengkajian semula cukai-cukai dan tol:
a)                  Tol Jambatan Sultan Mahmud
b)                  Cukai pintu rumah kediaman
c)                  Cukai bakul di pasar
d)                 Lesen perahu dan beca roda tiga
e)                  Daftar lahir, permit pindah, sembelih binatang ternakan (dikaji semula)
f)                   Cukai tanah ditukar kepada sistem zakat dan kharaj (dikaji semula)

Pada ketika yang sama, kerajaan juga berusaha mempertingkatkan tahap pembangunan insan di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan khususnya dan rakyat amnya. Untuk itu, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah, antaranya:
a)                  Menubuhkan Unit Pembangunan Insan (UPI) dan Akademi Pembina Insan (API).
b)                  Mengadakan tazkirah mingguan pada setiap pagi Khamis untuk semua pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
c)                  Menggiatkan aktiviti kuliah, ceramah dan kursus keagamaan dari masa ke semasa ke arah membentuk masyarakat yang jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
d)                 Program Pekan Budaya Daerah-daerah dan Festival Terengganu yang merupakan agenda tahunan dalam kalendar pelancongan negeri diselitkan acara Ceramah/Forum Perdana bertujuan menyuntik jiwa masyarakat agar lebih bertaqwa kepada Allah.
e)                  Bagi mengingatkan rakyat kepada solat, pasar malam direhatkan operasi jual-beli selama setengah jam di permulaan waktu Maghrib.
f)                   Para pengguna jalanraya pula diingatkan dengan kalimah-kalimah tasbih, tahmid dan takbir yang dipacak dibirai-birai jalan.

Tujuh: Di bawah portfolio perumahan pula kerajaan negeri akan memastikan setiap rakyat negeri Terengganu yang telah berkeluarga diberikan keutamaan memilih sama ada memohon untuk memiliki tanah tapak rumah ataupun membeli rumah untuk kediaman sendiri.

Lapan: Sebagai memantapkan lagi kebajikan rakyat yang berkeperluan, dasar pemilihan tanah juga diperkemaskan lagi dengan menawarkan semula permohonan untuk memiliki tanah kepada rakyat tempatan. Malah, keutamaan diberikan kepada permohonan untuk membangunkan tanah yang boleh mengeluarkan hasil makanan dan pertanian.

Di dalam usaha memperkemaskan kembali polisi pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri, langkah-langkah berikut telah diusahakan:
Pertama: Mewujudkan portfolio Hisbah dan Tugas-tugas Khas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Dr. Haji Mohd Salleh Abbas yang antara lain untuk mengetuai Badan Penyiasatan Penyelewengan bermaksud menyiasat semua bentuk penyelewengan  dan pembaziran yang berlaku sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan pimpinan lalu. Ia juga bertujuan untuk memantau semua perjalanan kerja pengurusan kerajaan serta kakitangan kerajaan dan agensi di bawah kerajaan negeri.

Kedua: Mewujudkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) sebagai menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memastikan semua dasar dan program kerajaan dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama. Pandangan dan kerjasama rakyat diambilkira, seumpama program gotong-royong akan digalakkan dalam usaha untuk memaju dan menjaga keselamatan kampung.

Ketiga: Semua projek infrastruktur untuk kemudahan asas rakyat diteruskan manakala ‘projek mega’ dan mewah yang tidak mengikut hiraki keutamaan dikaji semula.

Keempat: Dasar perhutanan juga telah diubah dan permohonan kawasan balak dibuka secara tender menjamin ketelusan dan keadilan kepada semua pihak.

Kelima: Kerajaan negeri terus berusaha untuk menarik pelabur dari dalam dan luar negeri dengan mengadakan promosi, taklimat dan misi-misi lawatan dalam dan luar negara.

Jelas sekali, dalam tempoh tidak sampai dua tahun pemerintahannya di Terengganu, PAS sebenarnya telah banyak melaksanakan dasar dan peraturan Islam. Ianya sudah pasti mengambilkira pembangunan kemanusiaan dengan meletakkan Islam sebagai kayu ukuran dan landasan dalam melaksanakan semua dasar dan polisi. Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya berdasarkan akal fikiran yang rasional menggunakan pertimbangan hidayah.

Apa yang agak ironi sedikit, sebahagian harapan dan cita-cita Wan Mokhtar boleh dikatakan tercapai dengan program pemerintahan PAS itu. Maksud penulis ialah kata-kata beliau di dalam Sekali Penyu Menyusur Pantai, iaitu: “Semoga, apabila sekali penyu menyusur pantai, ia membawa bersamanya angin perubahan ke arah kecemerlangan.”

Barangkali penyu sudah menyusur pantai pada tahun 1999 lalu. Akibatnya, Terengganu dilanda angin perubahan. Dan ternyata perubahan yang dilakukan oleh rakyat Terengganu itu setakat ini sememangnya menjurus ke arah kecemerlangan, seperti yang diimpikan oleh Wan Mokhtar.

Cuma agak malang baginya, perubahan ke arah kecemerlangan itu hanya boleh dilakukan dengan terlebih dahulu menjatuhkannya dari takhta pemerintahan.

(Artikel ini adalah Bab 2 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

No comments:

Post a Comment